Hukum Izhar Halqi dan Contohnya
Hukum izhar halqi dan contohnya |
Di dalam hukum nun sukun dan tanwin, terdapat empat hukum bacaan. Ini bermaksud apabila nun sukun atau tanwin bertemu dengan huruf hijaiyah, maka akan berlakulah empat hukum bacaan. Saya tidaklah akan menghuraikan keempat-empat tajuk tersebut pada hari ini.
Dalam tulisan kali ini saya hanya akan menerangkan hukum bacaan yang pertama sahaja, iaitu al-Izhar. Takrif hukum izhar telah dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu dari segi bahasa dan juga dari segi istilah.
Pengertian Hukum Izhar
Dari segi bahasa, al-Izhar bermaksud menyatakan sesuatu. Manakala dari segi istilah pula al-Izhar bermaksud melafazkan sebutan nun sukun atau tanwin dari makhrajnya tanpa dengung pada pertemuannya dengan huruf izhar. Izhar mempunyai enam huruf semuanya. Sila lihat jadual di bawah yang mengandungi huruf-huruf azhar beserta contoh-contohnya.
Contoh hukum izhar halqi |
Kalau anda perhatikan contoh di atas, hukum nun sukun boleh berlaku dalam satu dan dua kalimah, manakala hukum tanwin hanya berlaku dalam dua kalimah sahaja. Ketika saya mengajar, kebanyakan anak murid saya tidak faham dengan istilah satu kalimah dan dua kalimah. Atas sebab itu saya beranggapan mungkin ada sebilangan kecil dari kalangan pembaca blog saya yang kurang faham dengan dengan istilah tersebut. Tapi itu hanya anggapan saya saja.
Saya yakin bahawa anda semua sudah pun faham dengan istilah tersebut.Walau bagaimanapun saya akan terangkan juga di sini. Yang dimaksudkan dengan satu kalimah ialah nun sukun dan huruf izhar berada di dalam kalimah yang sama.
Yang dimaksudkan dengan dua kalimah pula ialah nun sukun berada di akhir kalimah pertama dan huruf izhar berada di awal kalimah kedua. Rujuk semula contoh di atas dan cuba fahamkan penerangan saya.
Cara Membaca Izhar Halqi
Jadi, apabila nun sukun atau tanwin bertemu dengan salah satu dari huruf Izhar yang enam, maka bacaan nun sukun atau tanwin tadi wajib diizharkan yakni dijelaskan tanpa dengung. Cara mengizharkan nun sukun atau tanwin ialah dengan mengangkat hujung lidah menekan pada gusi gigi depan sebelah atas makhraj huruf nun.
Hukum izhar ini dinamakan dengan Izhar Halqi kerana keenam-enam hurufnya datang dari kawasan halqum atau kerongkong.
Penulis : Abdullah Idris ( guru KAFA )
Video Izhar Halqi
Semoga artikel hukum izhar halqi dan contohnya bermanfaat dan mempermudah belajar hukum tajwid.